.::Salam Setinggi Ukhuwah Sekencang Da'wah::.

Photobucket

Khamis, 8 Mei 2008

Masjid Kristal Dan Erti Sebenar Ketamadunan Islam

Dipetik dpd : www.iLuvislam.com
oleh: Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi *

Pernah suatu masa dahulu, di dada hadapan akhbar ini terpampang berita tentang sebuah Masjid Kristal yang akan di bina di suatu tempat di negara ini. Diberitakan bahawa masjid itu adalah sumbangan sebuah syarikat yang mempromosikan barangan dari kristal. Diberitakan juga masjid itu dianggarkan berharga RM 22 juta bagi menampung jumlah qariah seramai kira-kira 120 orang. Saya tertarik untuk memberi beberapa komen tentang apa yang disebutkan oleh laporan berita tersebut serta implikasi penerimaan pendekatan terhadap persepsi tentang peranan masjid dewasa ini.

Masjid untuk Pelancongan??

Pertama, di dalam laporan berita tersebut, Masjid Kristal itu dijangkakan akan menjadi elemen untuk menarik pelancong ke tempat peranginan tersebut. Di sini saya ingin mempersoalkan tentang sama ada umat Islam seluruh dunia bersedia menerima konsep masjid sebagai setaraf dengan pembinaan sebuah ‘resort’ atau sebuah ‘tugu’ contohnya tugu burung helang yang tersergam di Pulau Langkawi. Kita sering disajikan dengan pendekatan contohnya beberapa masjid yang setiap satunya berharga beratus juta ringgit sebagai asset negara bagi menarik pelancongan. Kalau kita sedia menerima pendekatan baru ini maka kita akan melihat banyak lagi masjid yang akan di bina dengan kos tinggi walaupun di waktu yang sama ada umat Islam di negara atau qariah tersebut yang berkeadaan kais pagi makan pagi dan kais petang, makan petang. Adakah umat Islam bersedia tidur nyenyak dibuai mimpi masjid-masjid indah semata-mata pelancongan sambil pada waktu yang sama kebajikan asas umat sendiri tersadai ditepian?
Implikasi kedua penerimaan pendekatan ‘Masjid Pelancongan’ ini adalah besar kemungkinan masjid akan di bina di kawasan yang ‘romantik’ contohnya di tengah-tengah tasik atau lagun atau dipuncak-puncak bukit, atau di padang jarak padang tekukur semata-mata menyedap pandangan mata? Dalam hal sedemikian kita tidak lagi berkisah samada terdapat qariah yang optima atau tidak kerana perancangan masjid sudah terkeluar dari peranan asalnya sebagai pusat pembangunan masyarakat. Masjid kini dilihat semata-mata simbol kemewahan negara atau kekayaan palsu umat Islam.

Kisah Nabi

Pernah suatu kitika Rasulullah s.a.w. melihat para Sahabat berebut-rebut mengambil air wudhuk baginda. Baginda bertanya kenapa mereka berbuat demikian. Para sahabat menjawab bahawa mereka ingin memperlihatkan hormat mereka terhadap baginda. Rasulullah s.a.w. terus menjawab bahawa hormat kepada baginda adalah dengan cara mengikut sunnahnya dan bukan secara yang ditunjukkan mereka. Saya menginterpretasi bahawa Rasulullah s.a.w. tidak gemar kepada usaha menjadikan sesuatu ‘simbol’ kepada aspek-aspek Islam, apatah lagi kalau ia boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang boros.

Konsep Hakiki Ketamadunan

Kedua, laporan berita tersebut juga memuatkan komen pemberita tentang bagaimana masjid kristal ini akan memberi sumbangan besar terhadap ketamadunan dan kesenian Islam. Saya ingin mengingatkan pembaca bahawa konsep hakiki ketamadunan manusia adalah berdasarkan kepada keadaan manusia yang mempunyai nilai maruah kemanusiaan atau keinsanan yang tinggi serta daya pemikiran yang kritis. Ketamadunan tidak didasarkan kepada hasil produk semata-mata seperti bangunan atau arca. Jika pendekatan atau kefahaman pembinaan masjid yang mahal atau kerana hendak menonjolkan system konstruksi yang unik diterima, kita karus berhati-hati tentang apa sebenarnya ‘sumbangan’ yang diinterpretasikan oleh umat Islam dan bukan Islam.Saya khuatir mesej bahawa Islam kegila-gilaan tentang objek kebendaan yang keterlaluan akan menjadi interpretasi popular di masa terdekat. Rasululah s.a.w. pernah mengajar umat Islam tentang menjimatkan air wudhuk walaupun pada sungai yang mengalir. Islam merupakan agama yang paling praktikal sekali apabila Rasulullah s.a.w. meninggalkan warisan bahawa seluruh bumi sebagai hamparan asas untuk sembahyang. Sesuatu kaum yang tidak mempunyai tempat tinggal khusus mampu mengkhususkan sebidang tanah dengan beberapa garisan sebagai batasan untuk dijadikan ia sesuci-sucinya masjid. Jangan pula umat Islam pewaris Islam mengenakan atau membayangkan sesuatu keperluan bangunan yang terlalu mahal sebagai suatu kawasan untuk berjemaah kerana ia bukan dari nilai-nilai sunnah yang ditinggalkan.

Sumbangan biar berpada

Walaubagaimanapun, niat syarikat kristal tersebut untuk membina masjid sebagai suatu sumbangan masyarakat adalah suatu usaha yang patut dipuji dan disanjungi serta sesuatu usaha yang harus dicontohi oleh semua syarikat dalam menghudupkan budaya wakaf. Tetapi biarlah sumbangan tersebut berpada-pada dan memberi ‘return’ atau pulangan yang tinggi mengikut lunas-lunas sunnah. Contohnya, kalau syarikat tersebut ingin menyumbangkan kristal sebagai promosi barangan pembinaan, tidak bolehkah ia mengagihkan sumbangan tersebut kepada dua puluh atau empat puluh buah masjid yang lain? Mungkin elemen yang dibina adalah suatu pintu gerbang dan pagar masjid serta elemen seperti pondok-pondok wakaf dalam lanskap masjid yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat termasuk yang bukan Islam. Dengan cara ini masaalah masjid bernila 22 juta untuk qariah berjumalah 120 orang (lebih kurang RM500,000 setiap jemaah) tidak timbul. Saya rasa dari perspektif perniagaan pun lebih baik banyak orang mendapat manfaat dari segelintir jemaah sahaja agar ‘pengiklanan’ barangan tersebut akan menjadi lebih efektif. Selain dari membuat pembinaan syarikat tersebut juga boleh mendermakan beberapa juta ringgit kepada tabung yayasan Islam bagi memberi biasiswa kepada anak-anak umat Islam yang ada di antaranya tidak berupaya membayar yuran SPM di ‘negara Islam’ tercinta ini. Saya berasa sumbangan-sumbangan sedemikian adalah lebih optima bukan sahaja dari perspektif timbunan pahala yang lebih banyak tetapi suatu strategi ‘pemasaran’ nama syarikat tersebut yang lebih berkesan serta berpanjangan.Akhir sekali, saya berasa tidak ada salahnya jika kita ingin ‘menyumbang sambik mengiklan’ serta mencapai sesuatu keadaan ‘win-win’ atau kebajikan bersama. Tetapi biarlah usaha murni mewakafkan sumbangan kepada ketamadunan Islam dibuat atas landasan yang optima dan hakiki dan bukannya semata-mata di atas landasan komersialisme atau pelancongan yang tidak terbatas.


*Prof Dr Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi merupakan pensyarah seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).Sumber: http://www.kalam.utm.my/publication/mosqueislamicarch/ia_article_2.

~Kupukupusolehah~:

Bismillahirrahmanirrahim...alhamdulillah, untuk sekian kalinya, setelah sibuk menyiapkan diri untuk tugasan2 di uia, hari ni rasa kelapangan sedikit. Nak mengarang di blog ni sering sahaja tak sempat, terus apa yang terdaya adalah membaca blog2 dan website insan2 lain dan kaji dan kaji dan teruskan berfikir. Terus, tertarik untuk men'copy-paste'kan artikel ni..hehe...

Apa telah 'diterjemahkan' secara tidak langsung oleh Prof Dr Mohammad Tajuddin mengenai Masjid Kristal ini benar2 tepat sekali. Terus membuka minda ana selaku anak remaja yang ingin bersuara. Disinilah definisi matlamat tak menghalalkan cara layak untuk di adaptasi.

Ok, lihat sahaja kepada niat asal perkara ini, yakni nak membina masjid, alangkah murninya niat yang ada. Terus langkah2nya gimana sih?
Perlukah sebesar itu?
Mesti keadaan canggih?
Tepuk dada tanya iman..

Benarlah seperti kata Professor, bukankah lebih baik niat untuk membantu itu disalurkan dengan memberi bantuan kepada beberapa masjid di Malaysia ini, alangkah hebatnya andai misi untuk membantu ISLAM itu dapat diteruskan dengan cara yang betul dan berlandaskan prinsip ISLAM.. Banteraslah pembaziran, tegakkan ajaran Quran dan Sunnah..

~Seeru 'ala Barakatillah~

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

‘Jika matahari dan bumi punyai paksi dan graviti, begitulah hubungan manusia dan agama. Agama pasti dihayati secara menyeluruh oleh sekumpulan manusia sepanjang waktu’- Hassan Hudaibi, Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin kedua..

Umat sekarang tidak menghayati agamanya secara menyeluruh, maka akan rosaklah sebuah sistem yang menjaga mereka.

Tapi masih ada insan-insan yang Allah takdirkan masih lagi sedar dan mahu memikul beban dakwah ini...

Maka menjadi tugas untuk membina kembali mereka, bermula dari individu-individu manusia yang faham akan erti kehidupan, supaya dapat membina rumah tangga Muslim, masyarakat Muslim, bebas tanah air dari penjajahan segala bentuk yang bukan Islam, pulihkan kembali kerajaan Islam, kewujudan negara Islam yang tidak dipisahkan oleh sempadan-sempadan, dan seterusnya menjadi tonggak dunia (ustaziyatul 'alam)..

Jalannya memang panjang, namun walaupun mungkin tidak sempat merasai tatkala Islam di puncak, tapi amat berharap agar diri ini menjadi batu-bata kepada pembinaan ummah ini kembali..

Insya Allah..

-hidup dan kehidupan-

cheekylulu berkata...

salam ziarah.. teruskan perjuangan sahabatku..