.::Salam Setinggi Ukhuwah Sekencang Da'wah::.

Photobucket

Isnin, 5 Januari 2009

Mahasiswa UIAM Demontrasi Kutuk Kekejaman Israel


Gombak,2 Januari 2009
- Seramai lebih 2000 orang mahasiswa, mahasisiwi dan kakitangan UIAM telah mengadakan perhimpunan aman di perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM petang ini. Perhimpunan ini diadakan bagi membantah dan mengecam kekejaman dan kezaliman rejim Zionis yang telah menyerang Semenanjung Gaza dan mengakibatkan kematian beratus-ratus nyawa umat Islam yang tidak berdosa. Perhimpunan yang diadakan sejurus solat jumaat itu telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada jemaah masjid yang selesai menunaikan solat jumaat dan mendapat kerjasama yang baik daripada pentadbiran universiti.


Perhimpunan telah dimulakan dengan laungan takbir dan ucapan yang penuh bersemangat daripada wakil mahasiswa. Pelbagai sepanduk dan banner juga telah dibawa yang mengutuk kezaliman Israel dan menuntut pembebasan Palestin daripada cengkaman Israel. Wakil mahasiswa yang berucap telah menyentuh latar belakang isu serangan Israel ini dan menggesa semua pihak termasuk pemimpin negara agar berusaha menamatkan konflik berdarah ini.


Presiden Kelab Ma’ruf UIAM, saudara Faridzul Nasarudin yang mengetuai demonstrasi aman tersebut telah menggesa supaya mahasiswa UIAM bukan hanya sekadar menonton atau mengikuti sebarang himpunan aman dan perbincangan mengenai masa depan umat Islam di Palestin, tetapi mampu untuk memberikan sumbangan maksimum membantu saudara-saudara mereka di Gaza dan para pejuang Islam di Palestin pada masa ini. Ini kerana UIAM sendiri ditubuhkan oleh OIC yang turut sama menaungi negara Palestin, namun kesatuan itu tidak mampu berbuat apa-apa ketika Amerika Syarikat menolak mentah-mentah usul keselamatan dari Liga Arab agar Israel menghentikan serangan. Beliau juga mencabar Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Pembangkang, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Islam Se-Malaysia selaku parti Islam terbesar di Malaysia, Ustaz Abdul Hadi Awang agar boleh mengadakan Munajat Perdana Umat Islam Malaysia atau sekurang-kurangnya mencari apa jua titik persamaan bagi membincang tindakan agresif membela nasib umat Islam di Gaza dan menggesa Israel menghentikan serangan ganas yang kini meragut lebih 400 nyawa dan lebih 1,500 lagi yang tercedera.

Dalam perhimpunan ini,bendera Israel juga telah dibakar oleh mahasiswa bagi menunjukkan kemarahan mahasiswa terhadap sikap angkuh rejim Yahudi. Perhimpunan aman ini berakhir dengan semua peserta perhimpunan membacakan doa wehdah bagi menunjukkan kesatuan umat Islam di samping mendoakan keselamatan Muslim di Gaza.
Perhimpunan ditamatkan secara aman pada jam 2.45 petang tanpa sebarang kekacauan dan provokasi. Rata-rata mahasiswa yang ditemui selepas perhimpunan berharap agar perhimpunan seperti ini dapat meningkatkan tekanan ke atas Israel dan sekutunya Amerika Syarikat dan berdoa agar konflik ini dapat diselesaikan segera.

Dilaporkan oleh: Mohd Nor, UIAM

Sumber : http://gamisdaily.com/v3/?p=228#more-228

Tiada ulasan: